LUAHAN SYUKUR, PENGUBAT RESAH
TARIKH : 18 JULAI 2024 - KHAMIS
1. Terima kasih ya Allah kerana
mengurniakan hari baru untukku. Terima kasih ya Allah kerana masih mengizinkan
hambaMu ini untuk terus hidup di muka bumi milikMu ini. Terima kasih kerana
dengan nikmat hari baru ini Engkau memberikan hambaMu satu hari lagi di
kehidupan ini.
2. Terima kasih ya Allah atas nikmat
Kesihatan yang Engkau berikan kepadaku sepanjang hari ini ya Allah. Tubuh badan
dan fizikal ku berada dalam keadaan yang sihat tanpa sebarang kesakitan
sepanjang hari ini. Terima kasih juga kerana anak-anak dalam keadaan yang
sihat.
3. Terima kasih ya Allah di atas kelapangan
yang Engkau berikan di saat hambaMu berada dalam keadaan yang tertekan. Terima
kasih ya Allah kerana menghadirkan tangisan yang mulanya sangat menyakitkan
namun melegakan perasaan.
4. Terima kasih ya Allah, memberikan
kesempatan untukku berbicara dan meluahkan rasa yang terbuku di dada. Rasa
sakit yang mencengkam di jiwa. Kegelisahan, kerisauan dan ketakutan yang
menghambat fikiran dan perasaan ku. Terima kasih kerana sudi mendengarnya.
Terima kasih ya Allah kerana Engkau maha baik. Moga setiap doa dalam tangisan
ku akan Engkau perkenaankan ya Allah.
5. Terima kasih ya Allah kerana memudahkan
segala urusan ku di Public Bank. Bayaran yuran ulangan anakku dan juga
mendapatkan Salinan kad VIOS. Terima kasih atas kemudahan ini ya Allah.
6. Terima kasih ya Allah kerana masih
menghadirkan peneman yang setia menemani kami di rumah. Di saat hati ini masih
rapuh dan lemah kerana bertarung dengan ketakutan dan ketidakupayaan, masih ada
insan yang kau hadirkan untuk membantu hambaMu, Kurniakan redha dan rahmatMu ke
atas orang-orang baik ini ya Allah.
7. Terima kasih ya Allah kerana masih ada
yang datang bersedekah. Moga engkau merahmati mereka.
KULEPASKAN
SEGALA KESEDIHAN KU HARI INI DALAM JANGKAUANMU YA ALLAH. KESAKITAN MENDENGAR
KATA-KATA PAHIT. KERINDUAN YANG MENDALAM YANG SENTIASA MENCENGKAM DI JIWA.
KERISAUAN TERHADAP URUSAN KAD OKU ANAKKU ESOK…SEMUANYA KUSERAHKAN KEPADAMU.
MOGA SINAR BAHARU ESOK PAGI, BERKAT KEBERKATAN HARI JUMAAT MAKA PERMUDAHKANLAH
URUSAN KAMI YA ALLAH.
Comments
Post a Comment