15 Sept 2024 – Ahad
Alhamdulillah keputusan egTukar telahpun diketahui.
Permohonan pertukaran saya kembali bertugas ke negeri asal telah berjaya dengan
izin Allah. Ketika saya mengambil keputusan untuk berpindah, perkara utama yang saya lakukan
adalah solat isthikarah iaitu meminta bantuan dan petunjuk daripada Allah agar
setiap tindakan ini adalah atas redaNya. Saya menerima kunjungan daripada beberapa
orang penting pendidikan di negeri tempat saya berkhidmat sekarang dan juga di
negeri tempat saya ingin berpindah. Daripada situ, saya mendapat banyak sokongan
dan panduan cara untuk mendapatkan pertukaran ini.
Namun demikian, ia tidaklah berlaku dengan
mudah. Allah tetap bagi ujian-ujian ketika dalam proses pengurusan perpindahan
ini yang memerlukan tumpahan air mataku kepadaNya. Saya memandang ini dari
sudut Allah ingin saya betul-betul berharap hanya kepadaNya. Di saat saya menangis
sampai meraung apabila masalah-masalah timbul dalam sepanjang pengurusan perpindahan
ini, sesungguhnya Allah selitkan kemudahanNya yang tidak terhingga.
Dalam melalui pengurusan proses perpindahan
ini, ada yang Allah rencanakan sesuatu untuk saya pada masa hadapan. Ini disebabkan
ada permintaan saya kepada Allah yang tidak seperti apa yang saya harapkan
namun apabila saya mula bertenang dan bermuhasabah diri, Allah hadirkan
kejernihan minda untuk menerimanya. Berbekalkan keyakinan Allah sedang mengatur
yang lebih baik untuk saya pada masa akan datang. Berkali-kali saya ingatkan
diri bahawa kita merancang, Allah juga merancang dan pastinya rencana Allah
adalah yang terbaik.
Dilema sekolah mana saya ditempatkan, saya juga
serahkan sepenuhnya kepada Allah. Saya tidak tahu tempat yang terbaik. Saya hanya
berharap dapat tempat yang logiknya lebih dekat dengan rumah saya tetapi rencana
Allah menempatkan saya di sekolah yang lebih jauh namun pastinya ini adalah
yang terbaik untuk saya. InsyaAllah.
Saya juga agak berdebar untuk berhijrah. Penghijrahan
ini bererti saya kena bermula daripada awal. Namun, dalam situasi sekarang saya
memerlukan persekitaran baharu untuk memasuki fasa baharu dalam hidup saya. Ya Allah,
Engkau meminta saya menjalaninya dan saya akan menjalaniNya. Bantu saya ya
Allah. Tolong saya ya Rabb. Kali ini, saya umpama mula membina kehidupan yang
betul-betul saya sandarkan hanya padaMu.
Tempat kerja baharu sesuatu yang saya harapkan
dalam keadaan yang baik-baik sahaja ya Allah. Kurniakanlah kepada hambaMu ini
suasana kerja dan majikan yang membolehkan hambaMu dapat terus beribadah
kepadaMu. Jika dibayangkan, jika difikirkan apa yang ada di hadapan, saya
memang tidak berdaya ya Allah. Apa yang saya mampu lakukan sekarang hanyalah
berserah dan bersandar hanya padaMu.
Comments
Post a Comment